30 Ogos, 2015

Bersih 4.0 - Apa Pandangan Saya


Bersih 4.0
Gambar oleh Malaysia Kini

Hari ini, 29 Ogos 2015, ramai rakyat dari ibukota dan juga luar negeri menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara untuk menunjukkan solidariti ketidakpuasan terhadap kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Saya tidak lah terlibat secara langsung dengan perhimpunan Bersih 4.0 ni tetapi sebagai rakyat Malaysia dan juga mengikuti perkembangan isu semasa, rasanya patut saya luahkan intipati perasaan dan pendapat saya di atas talian sebagai penyumbang ataupun penyokong kemakmuran negara.

CHEWAHH!! Ayattt...!!!

Sebelum bermula, ingin saya jelaskan bahawa saya adalah diantara mereka-mereka yang menyokong kepimpinan negara melalui tindakan dan keputusan yang telus oleh pemimpin nombor satu negara iaitu sesiapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri dan bukannya penyokong yang membuta tuli menyokong tanpa mengira kesan atau impak yang telah nyata melanda keadaan ekonomi dan kesejahteraan negara.

---------------

Sebagai rakyat biasa, saya terkesan dengan perlaksanaan GST dimana pada mulanya kita dijanjikan bahawa harga kebanyakan barangan keperluan akan menurun harganya tetapi apa yang jelas berlaku sekarang ialah HAMPIR SEMUA barangan keperluan naik harga.

>> Kemanakah pergi janji-janji manis kerajaan sebelum ini?

Harga minyak mentah dunia juga berada pada paras terendah tetapi kita masih membayar pada harga yang tinggi dan tidak mengikut prosidur pengiraan harga minyak bulanan mengikut harga pasaran semasa seperti yang dijanjikan oleh kerajaan yang memerintah.

>> Kemanakah pergi janji-janji manis kerajaan sebelum ini?

Saya Sebagai Rakyat Biasa

Sebagai peminat sukan ekstrim papan luncur (skateboarding) : sukan ini semakin mendapat tempat dikalangan rakyat tempatan dimana kita boleh melihat sekarang ada saja dikalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat atau taman-taman ekstrim untuk beriadah dan bersukan.

Tony Hawk pula sudah pernah datang ke Malaysia untuk membantu menaikkan sukan ini dikalangan peminat tempatan.

Malaysia bukan negara pengeluar atau mempunyai kilang yang menghasilkan peralatan sukan ini terutama sekali papan skateboard dan ianya perlu di-import dari luar negara untuk memenuhi kehendak dan permintaan para penyokong.

Tetapi belum pun sempat industri sukan ekstrim ini berkembang di persada tanah air, sudah ada pula dikenakan dengan undang-undang baru berbentuk GST yang nyata telah membebankan para usahawan tempatan yang cuba untuk menaikkan status sukan ini disamping menyumbang kepada ekonomi negara.

Baca berita ini daripada Bazly Bali oleh Astro Awani mengenai keluhan beliau sebagai usahawan tempatan yang membantu para peminat tempatan mendapatkan peralatan sukan tadi.

---------------
Bersih 4.0 di ibu negara.
Gambar oleh Suara Rakyat Sarawak

Kejatuhan Nilai Mata Wang Ringgit Malaysia

Ada seorang menteri tu kata kejatuhan nilai mata wang negara adalah elok kerana pelancong asing akan lebih banyak melawat Malaysia sebab 'murah'.

Ini statement yang senang dihadam tapi susah diterima. Kenapa?

Negara Malaysia bukanlah bergantung semata dengan industri pelancongan - it's that simple.

Saya setuju dengan statement di atas tetapi pelancongan secara kasarnya saya huraikan adalah cuma 2.6% penyumbang kepada ekonomi negara ataupun lebih tepat adalah penyumbang kepada 42billion pendapatan negara dari tahun 2013-2015.

Merepek tak statement saya tadi?

Tapi jika anda sedar dengan situasi ekonomi dan keadaan politik semasa parti pemerintah, yang mana satu lagi merepek? Fikir-fikirkanlah!

-------------

Banyak barangan keperluan yang perlu kita import untuk kegunaan seharian. Kalau tak nak cerita perihal barang keperluan, cukup sekadar kita sedar bahawa dengan jatuhnya nilai matawang negara, akan menjadi lebih mahal lah segala urusan import barangan tertentu. Dan yang akan membayarnya adalah kita - siapa lagi?

Mana ada kedai yang tak naikkan harga semata mahu menjaga pelanggan, sedangkan McDonalds pun kecilkan saiz burger patty nya :D

Ok Ok...mungkin agak tersasar sedikit daripada tajuk asal iaitu Bersih 4.0, meh kita kembali:

Pada pandangan saya, perhimpunan Bersih 4.0 ini penting. Walaupun ada diantara menteri-menteri atau wakil rakyat yang menyatakan bahawa perhimpunan ini tidak akan membawa apa-apa perubahan pada tampuk kepimpinan negara, ianya tetap penting kerana menunjukkan 'suara' rakyat.

Penting kerana media-media akan menyiarkan aktiviti ini sekaligus membolehkan negara luar melihat keadaan semasa negara kita. Bukanlah niat mahu mengaibkan negara sendiri tetapi jika pimpinan tertinggi negara pun boleh mengabaikan kebajikan rakyat sendiri, kemana lagi kita nak mengadu?

Bukan juga niat mahu negara luar mencampuri urusan negara kita tetapi jika isu semasa (2.6 & 42b) ini melibatkan institusi kewangan dalam dan luar negara, memang patut pun negara luar terlibat. Tujuan nya satu je, nak bukti bahawa adakah benar orang kepercayaan nombor satu negara kita ni menyeleweng duit rakyat atau sebaliknya. Kalau betul seleweng, kita tendang, kalau tak kita minta maaf.

Tetapi berdasarkan informasi dan data yang telah disiarkan, menunjukkan bahawa memang pemimpin kita telah menyalah-gunakan kuasa yang telah diberikan kepadanya oleh rakyat.

----------------

Kejatuhan matawang negara ringgit malaysia
Gambar oleh Moya Latif

Setakat penulisan ini dibuat, matawang negara berada pada paras RM1 bersamaan dengan $0.24 USD. 

Alaaa..bukan kita belanja pakai USD pon, kan ?! Tapi harus diingat, bahawa urusan import antarabangsa menggunakan matawang USD. 

Tak dilupakan juga bahawa ramai pelajar-pelajar kita yang berada diluar negara untuk membawa pulang skil dan pengetahuan yang akan membawa kemajuan untuk negara.

Tetapi jika pelajar-pelajar ini terbeban hidupnya diluar negara, mampukah dia hidup dan fokus dengan matlamatnya dan pulang membawa kejayaan?

Mungkin banyak yang tak sedar tentang 'collateral damage' atau impak-impak daripada penyusutan matawang dan juga keadaan ekonomi semasa, biasalah, dah terhantuk baru terngadah <- betul ke ni?

>> Bila nilai matawang jatuh, kita nak melancong pun susah sebab mahal.
>> Bila nilai matawang jatuh, barang-barang import jadi mahal ditambah lagi dengan GST
>> Bila nilai matawang jatuh, kita yang berurusan di atas talian ini paling terasa kesannya.

Dan banyak lagi yang mungkin anda sendiri boleh alami...

Jadi kenapa Bersih 4.0 ini penting?

Untuk menunjukkan kepada pimpinan tertinggi negara bahawa rakyat sudah mula sedar, mengetahui isu semasa dan juga terkesan dengan sistem atau dasar pentadbiran negara. Pimpinan tertinggi ni kadang-kadang tak sampai ke akar umbi pun pengetahuannya kerana asyik dikelilingi orang-orang yang menjaganya (anda faham kan?)

Bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr.Mahathir Mohamad bersama isteri juga ada turun ke perhimpunan Bersih 4.0 ni, apa cerita? Mereka saja nak bersempit dengan rakyat ka? Tentu ada sebab beliau turun padang. 

Tun Mahathir turun Bersih 4.0


Ya, ada saja suara diluar sana yang mengatakan bahawa ini semua ada angkara polisi-polisi yang direka sendiri oleh Tun Mahathir. Tetapi tiada manusia yang terlepas dari melakukan kesilapan. Bagi saya, memang benar Tun Mahathir yang memulakan polisi kepimpinan seperti ini tetapi beliau jugalah yang bersama rakyat berusaha untuk memperbaikinya.

Daripada baling batu sorok tangan, baik mengaku dan berusaha memperbaiki - bukankah ini adalah langkah yang terbaik jika kita betul 'memikirkan kesejahteraan negara?'

Bukannya dengan mencipta polisi dimana media sosial harus disekat, pengharaman pemakaian baju kuning segala - ini hanya akan menampakkan keburukan pihak kerajaan pemerintah.
---------------------

Sudah terlalu lama dan terlalu banyak perkara-perkara berkaitan isu kepimpinan negara kita ini dan ia memerlukan penulisan yang terperinci untuk mengulas segalanya. Dan saya buat masa ini, tidak mampu menghuraikannya kerana pada awal lagi sudah saya jelaskan bahawa ini adalah penulisan spontan saya berkenaan Bersih 4.0 dan keadaan ekonomi dan politik negara. 

Insyaallah, saya boleh meneruskan penulisan ini, tetapi ianya akan menjadi lebih mantap jika ada diantara anda sebagai pembaca mahu berkongsi informasinya kepada saya untuk diterjemahkan kepada tulisan blog.

Oleh itu, cukup sekadar ini sahaja penulisan saya buat masa ini - sebagai luahan seorang blogger anak-anak yang sedikit-sebanyak terkesan dan menghayati situasi kesejahteraan negara. Semoga ada ayat yang membuka mata, jika silap maafkan saya. 

Satu saja soalan saya kepada pihak pemerintah:

>> Dimanakah janji-janji manis anda kepada rakyat selamat ini

Dan sebagai peringatan:

>> Rakyat tidaklah sebodoh yang anda sangka jika betul itu sangkaan anda. Rakyat sudah mula mendengar dan menghayati situasi semasa - jadi berpadalah dengan statement dan keputusan anda (pemerintah) yang seterusnya.

Sebagai rumusan, ingin saya nyatakan disini bahawa penulisan ini bukanlah berdasarkan pemerhatian yang terperinci tetapi melalui naluri saya yang tiba-tiba terdetik mahu menulis secara spontan serba sedikit mengenai isu semasa. Mungkin tidak ada 'substance' yang anda lihat didalam posting kali ini, tetapi cukup bagi saya untuk anda sebagai pelawat blog Atas Talian untuk mengetahui bahawa saya terkesan dengan keadaan ekonomi dan politik semasa negara kita dan sesuatu harus dilakukan. Bersih 4.0 adalah 'trademark' yang tidak akan mudah kita lupa kerana ini mungkin akan jadi titik perubahan lanskap kesejahteraan negara Malaysia kita yang tercinta ini.


Atas Talian tidak bertanggungjawab keatas komen-komen yang berbaur perkauman, buli atau apa saja yang boleh menyinggung perasaan individu lain. Komenlah dengan hati dan minda yang terbuka tanpa perlu membuat provokasi. Terima kasih diatas lawatan anda, semoga penulisan bermanfaat.