26 November, 2015

Beli Kereta Terpakai Melebihi 10 Tahun? Prosidur Dan Perkara Yang Perlu Diketahui


Membeli kereta terpakai boleh menjimatkan duit kerana harganya yang jauh lebih rendah daripada harga asal kereta tersebut, tapi ia juga boleh menjadi mimpi ngeri kepada pembeli kerana barangan terpakai ni kita tak tau sejarah penggunaan dia.

Posting kali ni, saya nak kongsikan pengalaman saya sendiri membeli kereta terpakai yang umurnya dah pun melebihi 10 tahun. Apa yang saya ingin kongsikan adalah perkara-perkara penting yang perlu kita (pembeli) pertimbangkan sebelum bersetuju untuk membeli kereta tu dan juga prosidur-prosidur menukar nama pada geran kereta tadi.

Baru-baru ni, saya sudahpun selesai urusan membeli sebuah kereta terpakai keluaran Lamborghini yang didaftarkan pada tahun 1996 (umur Lambo ni dah 19tahun pada tahun 2015). Dibeli daripada seorang pelatih-peguam yang baru berumur 24tahun yang berasal dari Pulau Pinang.

Nama pada geran kereta sudah pun bertukar ke atas nama saya dan sekarang saya adalah pemilik yang amat berbangga dengan 'harta' ni kerana tidak ada hutang dengan pihak bank, cuma perlu maintain kesihatan kereta sahaja selagi mampu.

Panduan tukar nama pada geran kereta
Sebelum saya teruskan penulisan mengenai prosidur-prosidur menukar nama pada geran kereta terpakai yang melebihi 10tahun ini, ada baiknya saya kongsikan sedikit beberapa perkara penting yang perlu kita pertimbangkan sebelum membeli kereta terpakai @ kereta 2nd hand ni.

Perkara2 Penting Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Membeli Kereta Terpakai

Kalau kita tidak mempunyai cash/wang tunai yang mencukupi untuk membeli sesebuah kereta, memohon pinjaman daripada bank adalah langkah seterusnya yang perlu kita buat untuk 'membeli' kereta baru tetapi bukan butiran buat loan/pinjaman bank yang ingin saya kongsikan kali ni, cukup sekadar anda pembaca mengetahui bahawa kereta terpakai yang sudah melebihi 10tahun tidak layak untuk memohon pinjaman bank.

Pertimbangkan perkara-perkata dibawah ni sebelum anda bersetuju membeli kereta terpakai =

  • Kenali pemilik kereta - Jangan sekadar cakap dalam telefon terus setuju nak beli, kenali sedikit sebanyak mengenai personaliti atau profession si pemilik. Ini penting kerana kalau kita terbeli kereta yang digunakan oleh seorang yang kaki 'rempit' (rempit kereta laa)..sudah tentu komponen-komponen kereta sudah 'dibelasah' dan perlu diganti.
  • Ketahui jadual lepas penyelenggaraan kereta - Maksudnya disini, tanya si pemilik bila dia kali terakhir hantar kereta ke bengkel untuk maintenance. Kalau kereta baru, maintenance tak rumit sangat, tapi bila kereta tu dah lebih 10tahun umurnya, maintenance biasa tidak mencukupi. Tanyakan soalan-soalan seperti = Bila kali terakhir tukar belting?, bila kali terakhir servis aircond?, apa 'masalah kecil' kereta ni?, jarak pemanduan seharian berapa jauh?, dulu kau suka rempit ka bawak macam nenek? - ini contoh soalan-soalan peribadi - peringatan! Jangan sampai gaduh sudahlah.
  • Periksa keadaan fizikal kereta - Disini, anda dinasihatkan membuat kerja detektif! Antara perkara-perkara penting yang praktikal untuk anda periksa semasa bersama dengan pemilik kereta adalah seperti berikut = 
  1. Pastikan tingkap semua berfungsi dengan elok, baik manual atau automatik - pastikan semuanya lancar.
  2. Tali pinggang keledar berfungsi dengan elok.
  3. Suis lampu, signal, emergency light, high beam, reverse light dan sebagainya masih berfungsi.
  4. Pintu, bonet depan dan belakang boleh dibuka dengan elok tanpa perlu 'password', maksudnya sini ada saja pintu kereta yang susah dibuka kerana masalah teknikal dalaman.
  5. Periksa jika ada keretakan cermin, wiper tak larat nak lap tingkap depan, side-mirror tak boleh nak adjust.
  6. Suis elektronik semua berfungsi seperti, penghawa dingin, radio, tolok air-cond, lampu kabin.
  7. Tempat duduk penumpang dan pemandu boleh diselaras dengan baik, tak ada kesan pernah masuk air banjir...perghh..ini parah.
  • Ujipandu / Testdrive - Mintak izin pandu uji kereta tu, bawak la pusing pekan/kampung barang sekali dua untuk test = 
  1. Sistem suspensi / Shock Absorber = Anda pasti boleh menilai adakah sistem suspensi dalam keadaan baik atau tidak.
  2. Steering Freeplay = Kalau banyak sangat freeplay dekat steering tu, anda dah boleh catitkan dalam otak untuk sesi berdebat harga nanti.
  3. Pandu di kawasan lengang = bawak cukup-cukup laju lepas tu lepaskan tangan, kalau kereta menghala ke kiri/kanan, ada problem dengan alignment dan yang lain lah tu.
  4. Pandu di kawasan lengang = bawak secukup laju, lepaskan tangan dan tekan brek, kalau kereta menghala ke kiri/kanan, ada masalah dengan sistem brek lah tu.
  5. Lancar ke tidak bila tukar gear (manual) , enjin meraung (rasa pelik) bila tukar gear kalau auto, ada masalah gearbox la tu dan mungkin juga kerana masalah lain.
  6. Sebaiknya ajak sekali rakan mekanik anda untuk test drive kereta ni kerana mereka lebih mengetahui.
Apa yang saya senaraikan diatas memang tidak cukup komprehensif jika mahu membuat pemeriksaan yang terbaik ke atas kereta tadi. Ada lagi yang lebih memerlukan pengetahuan teknikal jadi sebaiknya, berkawanlah dengan mana-mana pomen kereta dan ajak mereka sekali testdrive kereta tu.



Prosidur Menukar Nama Pada Geran Kereta

Untuk kereta yang sudah menjangkau umur 10tahun keatas, selain daripada tidak layak membuat pinjaman bank untuk pembelian, pihak insurans juga tidak menawarkan perlindungan komprehensif. Ini kerana kereta yang melebihi umur 10tahun dikategorikan sebagai kenderaan yang lebih terdedah kepada risiko kemalangan, kerosakan dan sebagainya ( Insuran mana nak bayar kita, dia nak duit premium kita je, betul tak?)

Nota: Insurans baru ni untuk kereta yang Roadtax dah mati lebih setahun atau sekiranya pemilik asal kereta ingin memindahkan NCD (No-Claim Discount) insurans-nya kepada kereta baru dia.

Pertama sekali, hantar kereta tadi ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan sama-ada kereta tu 'layak untuk berada diatas jalan' mengikut kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh PUSPAKOM. Kos untuk membuat inspection di PUSPAKOM dalam lingkungan RM30. Dinasihatkan supaya pemilik asal kereta untuk membayar kos ni, jangan kita pulak bayarkan - tak best!

Seterusnya, setelah lulus ujian PUSPAKOM, sebelum kedua-dua pihak bersetuju dengan transaksi pembelian kereta - anda harus mencari syarikat insurans yang boleh menawarkan polisi perlindungan kepada kereta lama yang bakal anda beli tersebut. 

Persatuan Automobil Malaysia atau AAM adalah syarikat insurans milik bumiputera yang terbaik yang saya boleh syorkan kepada anda kerana saya sendiri adalah pelanggan mereka yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Apa yang perlu anda bawa semasa memohon untuk membeli insurans melalui AAM adalah-
  1. Salinan geran kereta 
  2. Salinan IC & Lesen Memandu pemilik terkini kereta dan IC/Lesen anda sendiri
  3. Dokumen pengesahan kereta tadi lulus ujian PUSPAKOM
  4. Duit tabung buluh dalam lingkungan RM400-RM500
  5. Jangan lupa 'subsribe' menjadi ahli AAM kerana anda akan diberikan perkhidmatan istimewa seperti servis menghantar bateri, towing, break-down servis dan juga perlindungan insurans peribadi selain servis-servis pembaik-pulihan kereta yang lain.
Setelah insurans sudah dibeli, tiba masa untuk pergi ke cawangan JPJ yang berdekatan untuk proses menukar nama pada geran kereta.

Anda perlu mengisi borang JPJ K3A ini dan isi butiran penuh dan 'jujur' anda dan pemilik asal kereta. Klik untuk muat-turun borang tersebut. Saya nasihatkan anda download borang tu dan isi siap-siap, ini untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pertukaran nama di cawangan JPJ nanti. (Selalu agensi begini kena beratur, lama ooo..)

PENTING! - Jika pemilik asal kereta tadi ingin memindahkan NCD atau insuran asal kereta kepada kereta baru dia, jangan lupa pesan kepada pemilik kereta tu untuk kopek Roadtax yang ada di kereta untuk dibawa ke kaunter JPJ, ini kerana RoadTax tadi perlu dibatalkan dan anda perlu memohon Roadtax baru.

Kaunter JPJ sekarang dah moden, jadi salinan Kad Pengenalan dan Lesen Memandu tak perlu bawa, cuma pastikan geran asal, Roadtax kereta tadi dengan duit yuran penukaran hak-milik kenderaan RM100. Tu je...

Keseluruhan kos berurusan di-kaunter JPJ melalui pengalaman saya sendiri cuma RM170 (RM100 Tukar Nama / RM70 Roadtax untuk enjin 1.3). Segala proses pertukaran nama mengambil masa kurang dari 1 jam, sangat cepat dan mudah jika anda telah memenuhi segala prosidur diatas tadi.

Tetapi semuanya ini tadi hanya boleh dilakukan setelah anda membayar pemilik asal kereta dengan harga yang dia minta, ini persefahaman mutual, maksudnya..kalau kawan-kawan atau saudara, mungkin boleh tangguh bayaran lah.

Setelah semua selesai, anda boleh menarik lafas lega kerana telah mempunyai kereta lama 'baru' yang gerannya juga diatas nama anda, tak ada hutang bank! Seperti saya, pemilik baru kereta Proton Saga Iswara 1996......ooopps...Lamborghini C12..hehe.

Semoga membantu, terima kasih.


9 comments

Write comments
Tanpa Nama
AUTHOR
27 November 2015 1:05 PTG delete

Haha!! Poyo! Ingatkan betul beli Lambo!! Baru nak mintak snap gambo...

Reply
avatar
Mohammad Ali
AUTHOR
13 Disember 2015 4:25 PTG delete

Sorry lambat reply. Hehe...saja nak tambah rempah kat masakan biar menggoda sikit. Tak larat nak beli Lambo lagi weeeiiii...

Reply
avatar
5 April 2016 11:43 PG delete

"Nota: Insurans baru ni untuk kereta yang Roadtax dah mati lebih setahun atau sekiranya pemilik asal kereta ingin memindahkan NCD (No-Claim Discount) insurans-nya kepada kereta baru dia."

Jika pemilik lama tak memerlukan NCD dan roadtax utk kereta baru dia, adakah sy tetap perlu beli insurans baru?

Reply
avatar
Mohammad Ali
AUTHOR
11 April 2016 11:34 PTG delete

Rasanya perlu sebab logiknya disini, insurans cuma akan melindungi penama insurans tersebut jadi: Pemilik baru kereta lama anda tetap kena beli insurans sebab itu memang dah undang2 jalan raya (setiap pemilik kereta mesti memiliki perlindungan insurans) manakala anda yang telah menjual kereta lama anda perlu ada insurans untuk kereta baru, sebab insurans lama atas nama/model kereta lama. Kalau dilihat dari segi pemilikan dan ketenangan minda, bayangkan saja kalau terjadi kemalangan, tetapi insurans bukan diatas nama anda, memang tak merasa lah perlindungannya.

Jangan cerita lah kalau2 ditahan pihak JPJ/Trafik..mereka boleh periksa sesebuah kereta dilindungi oleh syarikat insurans yang mana satu dan siapa penamanya. Pokoknya disini, sesebuah kereta mesti ada perlindungan insurannya sendiri. Walaupun kereta lama anda dah dijual pada orang lain, akan berlaku kesulitan bila dia nak perbaharui insurans keretanya kerana atas nama orang lain dan surat pemilikan kenderaan mesti ditunjukkan sebelum pihak insurans meluluskan perlindungan (so bayangkan anda dah lost contact dengan pembeli kereta anda)...

Reply
avatar
kuku besi
AUTHOR
29 April 2016 3:12 PG delete

Apa sebenarnya ncd ni?, ingat nak tukar nama kereta jugak..

Reply
avatar
Mohammad Ali
AUTHOR
3 Mei 2016 8:43 PTG delete

NCD-No Claim Discount. Maksudnya kereta tak pernah eksiden dan bayaran premium insurans kereta akan berkurangan sehingga had 50%.

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
28 September 2016 8:45 PTG delete

Assalamualaikum saya nak tanye pendat org lebih arif pasal beli kereta terpakai..
Mane lebih baik beli kereta berdaftar syarikat ke atau individu. Kalau syarikat servis mungkin terbaik kot,.

Reply
avatar
28 September 2016 8:47 PTG delete

Assalamualaikum saya nak tanye pendat org lebih arif pasal beli kereta terpakai..
Mane lebih baik beli kereta berdaftar syarikat ke atau individu. Kalau syarikat servis mungkin terbaik kot,.

Reply
avatar
Ridz Ayeop
AUTHOR
19 Oktober 2016 12:54 PG delete

Nanti nak cari tayar lain kali, cuba website https://mytayar.com

Ada banyak kedai di kawasan Lembah Klang yang feed harga kat website. Harga yang dipaparkan termasuk GST, tayar dan lain2 seperti yang dinyatakan mengikut kategori. Tiada ruang akan ditipu dengan kedai sebab semua terms + conditions dah dijelaskan di website. 

Anda hanya perlu masukkan spec tayar terus ke website. Website akan menunjukkan info mengenai offer dari Network Workshops kami. Anda boleh pilih apa yang penting untuk anda samada harga, lokasi, jenama atau model tayar. 

Kita akan pantau kedai supaya mereka tak menipu customer website. Anda hanya perlu bayar 5% deposit online. Lepas tu website akan hantar email info mana nak pergi. Balance 95% bayar terus kat kedai bila kerja dah siap.

Cara jimat, mudah dan telus untuk membeli tayar.

Reply
avatar

Atas Talian tidak bertanggungjawab keatas komen-komen yang berbaur perkauman, buli atau apa saja yang boleh menyinggung perasaan individu lain. Komenlah dengan hati dan minda yang terbuka tanpa perlu membuat provokasi. Terima kasih diatas lawatan anda, semoga penulisan bermanfaat.