26 November, 2016

Mudahnya Deposit Duit Syiling Yang Banyak Sekarang


Sedang saya khusyuk mengemas rumah, terjeling pulak bekas simpanan duit syiling yang terbiar dalam longgokan stokin tu. Banyak jugak duit syiling yang terkumpul, nak simpan lama-lama buat apa. Bukannya duit syiling klasik, bernilai dan boleh jual dengan harga yang lebih tinggi.

Jadi perkara paling logik yang perlu dilakukan ialah dengan menukar duit syiling tadi kepada wang kertas untuk digunakan sebagai wang belanja harian. Jadi dengan semangatnya saya mengira, menyusun dan mengasingkan duit-duit syiling tadi mengikut jenis, nilai dan jumlah tertentu.

Separuh jalan mengira duit syiling (macam toyol), terlintas kat kepala otak "kat mana aku nak tukar duit syiling ni" - leceh lah nak pergi ke kedai-kedai lepas tu tanya nak tukar ke tak. Ingat nak deposit duit syiling tu semua kat akaun bank tetapi bila teringat yang bank akan 'float' duit tu selama 10 hari sebelum dikreditkan kedalam akaun, jadi lemah semangat balik nak selesaikan 'isu' duit syiling yang banyak ni - projek duit syiling terpaksa diberhentikan serta merta kerana semangat dah pudar atas alasan 'leceh'.

Dipendekkan cerita, beberapa hari lepas tu saya singgah di Maybank untuk merompak, opss, untuk tukar kad ATM kepada yang baru sebab yang lama dah hampir tamat tempoh. Sedang menunggu giliran tu, ada seorang lelaki datang ke sebuah mesin dalam bank tadi dengan membawa beg. Rupa-rupanya dia bawa duit syiling yang banyak, agaknya 10 kali ganda lebih banyak daripada jumlah duit syiling yang saya ada kat rumah tu.

Selepas beberapa minit, lelaki tadi selesai urusan menyimpan duit syiling melalui mesin automatik dalam Maybank ni tadi - nampak mudah sangat proses ni dibandingkan dengan kaedah awal saya iaitu bertanya ke kedai-kedai untuk menukar duit syiling.

Memandang rumah saya dekat dengan Maybank ni, saya terus balik untuk mendapatkan duit syiling saya dengan niat ingin mencuba deposit menggunakan mesin automatik. Sebenarnya ternyata sangat mudah untuk deposit duit syiling yang banyak. Saya kongsikan caranya.

Deposit duit syiling

Gambar-gambar ni semua saya ambil semasa saya dalam misi deposit duit syiling melalui mesin automatik Maybank. Kat atas tu duit syiling terkumpul cuma tanpa duit syiling 5 sen.

Ingin saya jelaskan lagi, posting ni berdasarkan pengalaman saya sendiri deposit duit syiling di Maybank ya, bank-bank lain mungkin kaedahnya berbeza. Jadi mesin deposit duit syiling automatik ni tadi rupanya seperti gambar dibawah ni:

Mesin deposit duit syiling automatik

Cuma ada 2 butang kat mesin ni, butang A dan butang B - maksudnya cara menggunakannya adalah sangat ringkas, mudah dan pantas. Cara-caranya pula ialah anda hanya perlu longgokkan duit-duit syiling anda tadi kedalam bekas yang disediakan dibahagian sebelah kanan mesin automatik ini seperti gambar dibawah:

Cara simpan duit syiling kedalam akaun bank

Sebenarnya duit-duit syiling ni tadi anda tak perlu asingkan mengikut jenisnya. Boleh je campur-adukkan semua dan mesin ini akan mengira dengan jayanya. Tapi jika anda mahukan lebih kepastian, kira dulu jumlahnya sebelum mengisi kedalam bekas deposit ni tadi.

Anda diberikan masa lebih kurang 3 minit untuk selesai melonggokkan kesemua duit syiling anda disini sebelum mesin ini akan mula mengira secara automatik tanpa perlu anda menekan mana-mana butang. Jika duit syiling anda terlalu banyak maka proses ini perlu dilakukan beberapa kali, jika sedikit tak perlu tunggu 3 minit - tekan butang B untuk memulakan kiraan.

Mesin deposit duit syiling automatik ini akan mula mengira duit syiling anda dan akan 'memuntahkan' semula syiling yang rosak, terlepas kira ataupun duit syiling Afrika yang anda campurkan sekali kedalam bekas yang terdapat dibawah sebelah kiri. Kalau setakat 20-30sen tu tak payahlah letak balik untuk kira, buat beli gula-gula lah kan. Kalau banyak tu anda kena isi balik seperti gambar diatas dan kira semula.

Setelah mesin ni selesai mengira harta karun anda, mesin ini akan mengeluarkan resit seperti gambar dibawah:

Resit simpanan duit syiling Maybank

Beberapa perkara penting yang perlu anda buat disini.
  • Pastikan Nama, Nombor Akaun & Nombor Telefon anda ditulis dengan jelas ditempat yang saya bulatkan dalam gambar diatas.
  • Resit ini perlu anda serahkan kepada pegawai bank dalam masa 1 hari sahaja - jangan deposit hari ni minggu depan serahkan resit. Putih mata korang nanti.
  • Resit salinan kedua iaitu salinan pelanggan anda perlu simpan (just in case).

Anda juga tidak perlu berbaris ataupun mengambil nombor giliran untuk menyerahkan resit deposit duit syiling ni tadi kepada pegawai bank yang bertugas. Cuma perlu usha yang mana satu tengah free tu kemudian cakap elok-elok bagitau "Cik, ni resit deposit duit syiling saya tadi" - Pegawai bank (ikut pengalaman saya) akan periksa sama ada butir-butir penting sudah ditulis, dia senyum ucap terima kasih dan itu sahaja.

Jangan pula serah resit ni kepada pegawai yang sedang melayan pelanggan lain - kalau kena kat saya pun saya bancuh orang yang potong 'Q' macam tu.

Notakaki: Anda perasan tak jumlah yang tertera di resit saya diatas tu, RM76.95. Ini bermaksud mesin deposit duit syiling ini juga menerima duit syiling 5 sen, jadi apa lagi? Deposit la semua duit 5 sen yang ada kat rumah tu yang anda tak tau nak buat apa dengannya.

Kesemua proses deposit duit syiling ni selesai dalam masa tidak lebih daripada 10minit, cepat kan? Dan setelah diserahkan kepada pegawai bank resit tadi tu, lebih kurang dalam pukul 3 atau 4 petang hari tu jugak jumlah deposit telahpun dimasukkan kedalam akaun bank saya. Maksudnya tak wujud dah sistem 'floating' selama 10 hari kalau deposit duit syiling sepertimana pemahaman saya sebelum ni.

Senang & cepat kan proses deposit duit syiling ni, diharap penulisan ini membantu. Oh ya, anda tahu kan kalau hilang IC/MyKAD boleh dikenakan denda sebanyak RM1000? Kalau tahu elok la, jangan sampai hilang IC tu. Tak pun korang baca tips menyimpan duit yang berkesan ni yang saya tulis tak berapa lama dulu.


6 comments

Write comments
Unknown
AUTHOR
20 April 2017 4:47 PG delete

Syiling 1sen mesin tu terima x?

Reply
avatar
Mohammad Ali
AUTHOR
20 April 2017 8:10 PG delete

Paling kecik syiling 5sen yang diterima. Syiling 1sen tu dah lama dihentikan penggunaannya, tapi kalau saudara ada banyak dan nak tukar bolehlah hubungi pihak bank untuk bertanya samaada mereka masih menerimanya.

Reply
avatar
Kumar Nani
AUTHOR
22 Ogos 2017 10:07 PG delete

Sy Ade Duit lama I nk tukar.tapi nk dekat mn...

Reply
avatar
Ekyn hedhir
AUTHOR
3 September 2017 4:46 PTG delete

Hai. Terima kasih utk perkongsian berguna ni. Cuma saya nak bertanya kot2 ada yg tahu, saya nk deposit kan coins ke bank yg saya x ada akaun nya. Jadi adakah possible utk amount coins sy itu akan di masukkan ke akaun bank saya yg lain?

Reply
avatar
jida
AUTHOR
10 September 2017 9:29 PTG delete

senang kalau setiap cawangan bank pun sediakan khidmat mesin. Takde lah susah nak kena tanya satu demi satu kedai runcit bila nak tukar duit

Reply
avatar
Hazmi Hafiz
AUTHOR
6 Oktober 2017 2:15 PTG delete

Sy baru bukak tabung sy.. 3 bijik tabung memang dah asing 10¢ 20¢ &50¢
Tabung botol mineral besar 10liter tu..full..
Sekarang nak g ke maybank.. Tukar...
Mintak minta lah boleh..sb hari ini jumaat

Reply
avatar

Atas Talian tidak bertanggungjawab keatas komen-komen yang berbaur perkauman, buli atau apa saja yang boleh menyinggung perasaan individu lain. Komenlah dengan hati dan minda yang terbuka tanpa perlu membuat provokasi. Terima kasih diatas lawatan anda, semoga penulisan bermanfaat.