31 Disember, 2016

Azam Baru Tahun 2017, Azam Tahun 2016 Dah Capai Ke Belum?


Saya gagal melaksanakan azam untuk tahun 2016. Apakah yang perlu saya lakukan?


Tangguhkan membuat azam untuk tahun baru 2017. Mari kita kaji dan kenal-pasti apakah yang perlu kita lakukan sebelum melafazkan azam baru ini nanti. Ada dua jenis orang apabila kita bercakap tentang azam tahun baru, seseorang yang melaksanakannya dengan gigih dan seorang yang hanya melafazkannya. Jika anda mempunyai sejarah sebagai seorang yang tidak dapat melaksanakan azam tahun baru (yang lepas-lepas), anda mungkin perlukan alternatif untuk membentuk azam yang baru, dan saya senaraikan dibawah beberapa alternatif yang mungkin boleh membantu anda:

Azam tahun baru 2017
  •  Kenali diri anda sendiri dan ubah gaya hidup dan tabiat anda satu persatu. TABIAT adalah sesuatu yang amat berkuasa kerana ianya boleh dilakukan tanpa memerlukan banyak usaha, ianya kadang-kadang juga dilakukan tanpa kita sendiri menyedarinya. (Seperti korek hidung? Hahaha). Tabiat terbahagi kepada 3 bahagian iaitu PUNCA - TINDAKAN - HASIL. Kebanyakan kita akan membuat sesuatu tindakan kerana mengejar hasilnya, tapi kita kurang pasti apakah punca kita mengejar hasil tersebut dan apakah tindakan kita betul untuk mencapainya. Jadi untuk mendapatkan hasil yang sama (berjaya), cuba kenal-pasti punca anda berazam sedemikian kemudian eksperimen tindakan yang berbeza.
  • Cuba fikirkan cara untuk menghasilkan sesuatu tabiat daripada hanya memikirkan kejayaan tertentu. Sebagai contoh, katakan kita mahu kurangkan berat badan sebanyak 5 kilogram untuk tahun 2017, ini adalah kejayaan tertentu ataupun target yang terperinci. Kita akan senantiasa berada dalam situasi yang mengecewakan sehinggalah target ini dicapai - itupun kalau tercapai. Dan secara lazimnya, kita manusia ni bukanlah jenis yang boleh bertahan lama untuk mencapai kejayaan, kalau boleh sehari selepas kita buat azam, keesokan harinya kita sudah mahu melihat hasilnya. Jadi, daripada anda fokus dengan membuang 5 kilogram lemak daripada perut anda tu, adalah lebih digalakkan anda menukar gaya hidup anda seperti mula bersenam setiap hari sekurang-kurangnya untuk 30minit. Dengan membuatkannya sebagai rutin, ianya akan perlahan-lahan menjadi tabiat dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan mencapai target anda tadi.
  • Buat sesuatu berpandukan penilaian diri anda sendiri. Kerap kali kita mahu melakukan sesuatu dalam hidup kita kerana orang lain beranggapan bahawa ianya adalah idea yang bernas. Tetapi jika ianya bukanlah idea yang bagus bila anda memikirkannya secara mendalam, kita cuma akan tersasar daripada apa yang sebenarnya baik untuk kita. Maksudnya disini, apa yang elok dimata orang lain tidak semestinya baik untuk diri anda jadi buatlah sesuatu keputusan dan tindakan berdasarkan apa yang perlu dan penting dalam hidup anda.
  • Kurangkan INERSIA dalam hidup anda. INERSIA bermaksud menolak untuk membuat perubahan contohnya yang diam akan tetap diam dan yang bergerak akan tetap bergerak. Sebagai manusia biasa, kita bukanlah spesis yang suka melihat perubahan apalagi jika apa yang ada sekarang sudah 'cukup selesa', jadi perkara yang paling sukar untuk memulakan sesuatu yang berbeza adalah INERSIA ini tadi. Anda perlu melakukan sesuatu yang ekstra untuk menghilangkan INERSIA ini, sebagai contoh; menyediakan kasut untuk bersenam keesokan harinya seperti yang saya cadangkan diatas tadi supaya bila tiba hari esoknya, kita sudah melihat semuanya sudah tersedia untuk bersenam dibandingkan dengan apabila kita hanya menyediakan kasut dan pakaian senam 10-20 minit sebelum bermula, 'jin' malas biasanya suka singgah waktu sebegini mengajak anda duduk depan TV menonton drama Korea.
  • Eksperimen. Setiap daripada kita adalah berbeza dan tidak ada cara atau petua yang sahih dan tepat untuk mengetahui apakah langkah-langkah yang berkesan untuk diri anda melainkan anda sendiri menjalankan eksperimen. Kebanyakan orang akan tersangkut pada peringkat dimana mereka sudahpun mengumpul pelbagai idea-idea bernas untuk azam ini tadi tetap tidak pernah mahu melaksanakannya. Ada juga yang sudah memulakan tindakan yang dirancang tetapi putus asa ditengah jalan kerana gagal pada percubaan yang pertama, mungkin juga yang kedua. Apa yang terbaik ialah dengan meneruskan usaha anda tadi tanpa berhenti dengan menggunakan 'tindakan' yang berbeza. 

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia?


Bagaimana dengan azam 2016 anda, sudah tercapai dan tidak sabar untuk memulakan tahun 2017 dengan azam baru ataupun anda masih lagi terkapai-kapai untuk menjayakan azam tahun 1998 dahulu?

Apapun, semoga penulisan ini sedikit-sebanyak membantu anda yang benar-benar mahu membuat perubahan didalam hidup anda. 

Saya? Semenjak 3 bulan yang lepas (Oktober 2016) saya sudah berhenti merokok tanpa melafazkan apa-apa azam, jadi saya istiharkan disini azam tahun 2017 saya ialah berhenti merokok. 3 bulan tu kira 'burn' lah kan, boleh?

Jom tengok video azam tahun baru 2017 oleh Jijang Rajak & 11Street ni:





Saya ucapkan selamat tahun baru kepada pembaca semua, semoga diberkati dengan kekayaan yang berganda, kesihatan yang elok dan kebahagiaan yang berkekalan. Aminn...


Atas Talian tidak bertanggungjawab keatas komen-komen yang berbaur perkauman, buli atau apa saja yang boleh menyinggung perasaan individu lain. Komenlah dengan hati dan minda yang terbuka tanpa perlu membuat provokasi. Terima kasih diatas lawatan anda, semoga penulisan bermanfaat.